Khamis, 5 Januari 2012

Salam Tahun 2012

Salam semua,

Ermmm agak lama aku tidak membuka blog milikku ini.  Hari ini aku kembali untuk menulis sesuatu untuk kalian.  Hari ini merupakan hari kelima kita berada di tahun 2012.  Tahun baru yang pasti menjanjikan sinar harapan untuk kita meneruskan sisa-sisa kehidupan ini.

Pastinya tahun 2011 telah kita tinggalkan dengan seribu macam cerita, kenangan, suka-duka dan pelbagai lagi yang pasti mencuit hati jika kita mengingatinya.  Kita juga perlu realistik.  Apa yang kita tinggalkan pada tahun 2011 tidak perlu diingati lagi.  Cukuplah semua itu menjadi memori yang terindah dalam lipatan sejarah hidup kita.

Tahun 2012 kusambut dengan azam yang tinggi melangit.  Aku ingin meneruskan perjuanganku dalam bidang pendidikan.  Segala kelemahan yang kulakukan pada tahun-tahun sebelumnya akan kujadikan sempadan untuk aku terus maju dan bersemangat demi anak-anak didikku.

Ketika melangkah ke kelas buat pertama kalinya, aku menatap wajah-wajah kecil muridku.  Menatap wajah-wajah kecil itu membuatkan aku berkata dalam diriku ini bahawa mereka sangat memerlukan aku untuk menjadi pendamping mereka sepanjang tahun ini.  Lantaran itu, aku telah berjanji pada diriku bahawa harapan mereka dan ibu bapa mereka tidak akan kusia-siakan.  Akan kupastikan mereka mengenggam kejayaan pada akhir tahun 2012 ini.

Hari ini, aku dan warga sekolahku telah dikejutkan dengan berita pemergiaan salah seorang rakan sekerja kami iaitu Allahyarhamah Haslina binti Salleh.  Pemergiaan arwah menjadi satu tamparan kepada kami kerana arwah merupakan seorang guru yang baik dan sentiasa berfikiran positif.  Harapanku, arwah akan ditempatkan bersama-sama orang yang dirahmati Allah.  Aku dan rakan-rakan pasti akan meneruskan perjuangan dalam bidang pendidikan ini. Amin.

Rasanya cukuplah untuk kali ini.  Lain kali pasti aku akan menulis lagi.
Sekian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan